fbpx

Grab Discount Hingga RM5,000

10 Idea Baju Kahwin Yang Menarik Untuk Detik Indah Anda

Pilihan baju pengantin semasa nikah adalah penting untuk memastikan anda tampil cantik dan menawan di hari bahagia anda.

Waktu memilih busana pernikahan adalah waktu yang paling mengujakan bagi kedua-dua bakal pengantin. Pastinya anda semua mahu tampil cantik dan terbaik pada hari penting ini.

Tapi masih tak pasti baju apa yang anda ingin pakai? Keliru nak pilih rekaan dan warna yang bagaimana? Tak pasti mana satu yang sesuai untuk bentuk badan dan tona kulit?

Nah, tak usah risau. Di bawah ini antara idea baju pengantin yang menarik untuk rujukan anda.

Tapi sebelum tu, kalau anda nak cari design kad kahwin yang lawa-lawa dengan harga ikut bajet sendiri, anda boleh lihat di sini.

Pakaian Pengantin Simple


Kebiasaannya, warna putih menjadi pilihan utama para pengantin untuk hari pernikahan. Untuk selamat, anda boleh sahaja memilih baju simple berona putih yang tanpa banyak perincian berat untuk hari penting ini. Anda pasti tampil elegan walaupun dengan pilihan baju simple seperti ini.

Untuk pengantin lelaki pula, sarungkan sahaja baju melayu sepadan warnanya dengan pengantin perempuan.

Sama ada pilihan baju melayu dengan cekak musang atau teluk belanga, kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri. Padankan pula samping berwarna cerah, anda pasti nampak menyerlah.

Busana Muslimah Patuh Syariah

Sekarang sudah menjadi satu trend untuk bakal pengantin memakai baju muslimah.

Bukan sahaja anda akan nampak sopan malah anda kelihatan sangat menawan dalam persalinan baju muslimah ini. Fesyen baju pengantin muslimah kini dah up-to-date dengan trend semasa tapi masih mengamalkan konsep patuh syariah.

Busana muslimah biasanya memiliki rekaan pakaian yang agak longgar daripada saiz badan pengantin.

Tapi jangan risau. Walaupun baju pengantin muslimah agak longgar, tapi ia tetap nampak anggun dengan pemilihan jenis fabrik yang sesuai, penggunaan drapes yang tidak melarat, perincian yang teliti dan pemilihan warna yang menarik.

Pakaian Tradisi

Dalam teruja memilih baju perkahwinan yang pelbagai rekaan, jangan dilupakan juga baju tradisi kita. Anda juga boleh tampil anggun dan menyerlah dengan pakaian tradisi seperti baju kurung, baju melayu dan baju songket.

Baju Kurung

Mungkin baju kurung dilihat agak ringkas untuk dijadikan sebagai baju kahwin. Namun jika pandai memilih fabrik yang nampak mewah, warna fabrik yang sesuai, ditambah dengan perincian manik, sulaman bunga serta penggunaan aksesori seperti veil atau tiara, anda pasti tampil berbeza.

Baju Melayu

Baju melayu memang sudah lazim dijadikan pilihan untuk pengantin lelaki semasa hari pernikahan.

Berbeza dengan baju melayu moden, baju melayu tradisional menggunakan fabrik yang lebih lembut dan kelihatan lebih longgar. Terdapat dua pilihan jenis baju melayu iaitu baju melayu cekak musang dan baju melayu teluk belanga.

Anda juga boleh pilih untuk mengenakan baju melayu moden. Baju melayu moden direka tanpa pesak supaya baju tersebut tidak kelihatan terlalu longgar dan besar. Tetapi sang pemakainya akan tetap kelihatan kemas dan segak

Baju Tradisi Jawa

Pernah lihat majlis perkahwinan selebriti Mawar Rasyid? Mawar dan pasangannya Raf Yaakob mengenakan pakaian tradisi Jawa yang sungguh indah.

Mawar nampak cukup menawan dengan menyarung persalinan baju kebaya berenda putih dan berkain batik. Disertakan pula dengan juntaian bunga kepala menyerlahkan lagi pesona Mawar bak ratu jawa. 

Manakala Raf pula kelihatan segak dengan satu persalinan beskap putih iaitu pakaian tradisi perkahwinan bagi orang Jawa.

Perincian butang ringkas di bahagian dada nampak kemas dan tidak sarat. Padanan kain dan blangkon batik senada dengan kain batik yang dipakai oleh Mawar, menambah keserasian kedua-dua pasangan mempelai.

Baju Dengan Fabrik Songket

Walaupun ada banyak pilihan baju kahwin sekarang ini, persalinan baju songket masih lagi mendapat tempat dalam pemilihan pakaian nikah. Baju songket ini mempunyai peminatnya tersendiri.

Baju songket masih menjadi pilihan kerana ianya masih mengekalkan imej kemelayuan di samping penggunaan fabrik ini mampu menonjolkan kemewahan si pemakainya.

Rekaan songket ini boleh dipadankan dengan pelbagai jenis rekaan baju kahwin. Baju kurung, mini kurung, baju kebaya, baju kebarung, peplum gaun mahupun dress.

Semuanya sesuai menggunakan fabrik songket. Malah fesyen songket ini tak lapuk ditelan zaman. Permintaan untuk baju songket sentiasa tinggi terutamanya untuk busana perkahwinan

Baju Kebaya Atau Baju Kebarung

Baju kebaya juga boleh dijadikan satu lagi pilihan untuk busana detik indah anda. Pemilihan baju kebaya sesuai untuk menonjolkan imej kemelayuan dan kena dengan tema majlis berkonsep tradisional. Anda juga boleh memilih untuk memakai baju kebarung untuk tampil lebih sopan dan ayu.

Pilihan Baju Mengikut Warna Trending 

Jika anda ingin mengikut perkembangan fesyen terkini, boleh juga memilih baju warna trending. Setiap tahu pasti akan ada warna-warna yang menjadi trend terkini.

Warna Baju Kahwin Serba Putih Atau ‘All-White’

Pilihan warna serba putih ‘all white’ boleh buat momen indah anda nampak suci. Pemakaian baju kurung putih, shawl putih serta veil jarang berwarna putih dengan make up yang polos menampakkan kecantikan semula jadi anda. Tambahkan sedikit aksesori seperti tiara dengan rekaan simple di kepala, andalah puteri raja paling bergaya di hari indah ini.

Bagi pengantin lelaki pula, pemakaian baju melayu putih beserta samping putih bercorak pasti membuat anda nampak kacak di samping sang puteri impian. Jangan lupa untuk padankan dengan songkok hitam, kasut kulit hitam dan sapu tangan di poket. Anda pasti kelihatan segak di hari bahagia anda.

Warna Merah Jambu

Umumnya warna putih menjadi pilihan utama para pengantin di hari pernikahan mereka. Apa kata kali ini anda ubah sedikit kebiasaan ini. Cuba pilih padanan warna merah jambu yang lembut pula. Mesti anda nampak sangat sweet tetapi tetap anggun.  

Yang sang lelaki, jangan segan segan untuk menyarung persalinan berwarna merah jambu. Warna merah jambu bukan sahaja sesuai untuk wanita. Malah, kaum lelaki akan kelihatan lebih berani dan menyerlah dengan warna merah jambu.

Fakta menarik: warna merah jambu cukup mudah untuk dipadankan dengan warna yang lain. Dan ia juga sesuai untuk semua tona kulit!

Warna Ungu Gelap Dan Ungu Lembut

Nak tampil lebih berani dan nampak lebih mewah? Lupakan warna putih. Warna purple mungkin pilihan terbaik untuk anda. Warna purple gelap akan buat anda nampak lebih berani.

Bukan sebarangan orang yang mampu membawa warna ungu gelap untuk majlis pernikahan mereka. Jika anda salah seorang daripadanya, anda memang hebat!

Jika anda rasa ungu gelap agak ‘menakutkan’, cuba pilih warna purple yang lebih lembut seperti warna lilac, lavender ataupun amethyst.

Warna-warna sebegini lebih menampakkan sisi lembut anda. Kedua-dua rona ini mempunyai kelebihan mereka sendiri. Ianya bergantung kepada personaliti serta citarasa anda sendiri.

Warna-warna Pastel

Antara warna yang paling trending untuk nikah selain daripada putih adalah warna-warna pastel. Warna-warna pastel adalah warna-warna yang cerah dan lembut. Pilihan warna seperti kuning cair, baby blue, hijau mint dan peach adalah antara warna pastel yang popular dan menjadi kegilaan ramai. 

Warna-warna pastel ini bukan sahaja cantik di mata, malah ianya boleh dikatakan warna yang selamat dan tak lapuk ditelan zaman. Walaupun selepas 10 tahun nanti, gambar-gambar pernikahan dan persandingan anda akan pasti nampak segar dengan pemilihan baju pengantin berona pastel ini. 

Gaun Pengantin

Baju gaun juga nampak cantik dan sesuai untuk hari bahagia anda. Pemilihan baju gaun yang sesuai dengan tubuh badan akan membuatkan anda nampak anggun dan kelihatan seperti puteri raja! Siapa yang tak nak nampak cantik di hari penting kan?

Tapi jika mahu memilih baju gaun untuk pernikahan, anda perlu memastikan jenis gaun yang mana sesuai untuk bentuk tubuh badan anda. Pemilihan rekaan gaun yang betul mengikut saiz dan bentuk tubuh badan anda akan menjadikan anda lebih ramping, tinggi dan menarik.

Pakaian Pengantin Inspirasi Designer Terkenal

Jangan terhadkan pemilihan rekaan baju pengantin hanya kerana anda menyukai sesuatu gaya tersebut. Tak perlu takut untuk mencuba pelbagai jenis rekaan dan warna. Kalau anda tak cuba, anda tak tahu rekaan baju kahwin dan warna yang lebih sesuai dengan anda. 

Cuba dapatkan inspirasi baju kahwin dari idea designer terkenal. Mereka mempunyai citarasa yang tinggi dan teliti dalam mereka baju pengantin mengikut bentuk badan serta tona kulit pelanggan mereka.

Tengok sahaja contoh-contoh rekaan pereka fesyen duo Rizman Ruzaini untuk selebriti seperti Fazura dan Fasha Sandha. Rambang mata jadinya!

Baju Perkahwinan Inspirasi Artis Atau Selebriti

Kalau tak mahu peningkan kepala, ambil saja inspirasi baju kahwin yang dipakai oleh artis atau selebriti yang anda minati.

Rekaan baju kahwin artis atau selebriti ini semesti sudah mendapat hasil tangan daripada designer yang berkaliber. Dan yang pasti, baju kahwin mereka ini cantik-cantik belaka.

Tuxedo Dan Dress

Seiring dengan peredaran zaman, pasangan pengantin kini lebih selesa memilih baju pengantin moden.

Dengan padanan rekaan tuxedo untuk pengantin lelaki, anda akan nampak eksklusif untuk tema perkahwinan yang moden. Tambahkan sekali dengan tie, bow tie atau boutonniere, gaya anda sudah cukup lengkap.

Bagi pengantin perempuan pula, pilihan dress moden sudah cukup buat anda nampak lebih sofiskated. Pilihan konsep minimalis dan timeless pasti menyerlahkan kejelitaan anda.

Jika mahukan lebih dramatik, pilih rekaan dress meleret pada bahagian belakang beserta veil dengan kepanjangan sama. Pasti anda nampak anggun di majlis bahagia ini.

Menjadi ‘Raja Sehari’, semestinya setiap pengantin mahu tampil terbaik di hari pernikahan mereka. Bayangkan diri sendiri memakai pakaian pengantin impian, tampil cantik dan kacak di hari bahagia.

Sama ada memilih untuk membuat baju pengantin sendiri atau menyewa pakaian pengantin di butik, pastikan ianya sesuai dengan anda dan tema majlis anda.

Mahu atau tidak, baju pengantin pasti menjadi titik tumpuan utama semasa detik penting ini. Jadi, lakukan pilihan yang terbaik.

Oh ya, di nikahsatu kami juga ada menawarkan pelbagai pilihan hantaran kahwin pada harga berpatutan. Anda boleh lihat di sini, mungkin ini hantaran yang anda cari-cari selama ini.

Fadzi Razak

NikahSatu Writer

Share

Keep on reading

Walaupun dibantah ibu bapa, generasi sekarang berjaya buat majlis kahwin waktu malam

7 months ago

Idea Hiasan Untuk Dewan Kahwin Yang Ringkas Tapi Menarik

3 years ago

Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Buat Majlis Kahwin Di Dewan

3 years ago