Apabila pasangan bakal pengantin bersetuju untuk mengikat tali perkahwinan, banyak perkara yang memerlukan persediaan. Persediaan dari segi mental, fizikal dan juga persediaan untuk majlis perkahwinan.
Dalam majlis perkahwinan, akad nikah merupakan acara paling utama yang perlu dilakukan. Untuk memastikan akad nikah berjalan lancar, pemilihan tempat nikah, borang-borang permohonan nikah, kehadiran tok kadi dan saksi-saksi adalah amat penting.
Tapi jangan dilupa, persediaan baju nikah juga amat penting kerana ia merupakan titik tumpuan utama dalam majlis tersebut. Nak memilih baju nikah ini bukan boleh dibuat sambil lewa.
Silap hari bulan, pakaian nikah anda nampak tidak sesuai dengan tubuh badan. Malah jika tidak berhati-hati, pilihan baju nikah tersebut tidak kena langsung dengan tema majlis pernikahan anda.
Tak perlu risau. Berikut adalah beberapa idea pemilihan baju nikah yang menarik untuk dijadikan inspirasi ketika memilih baju nikah terbaik untuk majlis bahagia anda.
1. Baju Nikah Serba Putih
Jika tak mahu pening kepala memikirkan warna dan rekaan baju nikah, pilih sahaja baju nikah simple dengan tema serba putih.
Jadikan baju kurung tradisional mahupun baju kurung moden berona putih sebagai pilihan anda. Padankan dengan selendang putih, veil polos dan kasut putih, anda sudah bersedia untuk tampil anggun.
Bakal pengantin lelaki pula pasti nampak segak dengan pemilihan baju melayu moden beserta samping bercorak yang senada warnanya dengan baju nikah pengantin perempuan.
Lengkapkan penampilan anda dengan sapu tangan di poket dan nah! Anda sudah kelihatan menyerlah sebagai Raja Sehari.
2. Baju Nikah Muslimah
Bagi yang mahu tampak lebih ayu dan sopan, anda boleh memilih untuk memakai baju nikah muslimah.
Baju Muslimah
Fesyen baju pengantin muslimah sekarang sudah up-to-date. Rekaan baju muslimah masa kini lebih kontemporari tapi masih lagi mengekalkan adab sopan serta patuh syariah. Anda boleh jahit atau tempah sahaja baju muslimah yang sedia ada di butik.
Ada pelbagai jenis baju muslimah yang anda boleh pilih. Baju muslimah baju kurung potongan longgar, jubah, kebarung, kebaya labuh, gaun kembang ataupun dress meleret. Yang penting, ianya harus menutup aurat, tidak ketat dan tidak jarang.
Jubah Nikah Lelaki Dan Kurta
Untuk nampak lebih sepadan dengan pengantin perempuan dan kena dengan tema majlis, pengantin lelaki boleh juga mengenakan jubah nikah lelaki atau kurta labuh yang berwarna sedondon dengan pasangan.
Trend fesyen jubah lelaki dan kurta sudah cukup berkembang baik dari segi design ataupun modelnya. Ada jubah dengan kain yang lembut dan ada juga jubah jenis coat dengan kain yang agak tebal. Pastikan anda pilih jubah nikah lelaki atau kurta yang sepadan dengan badan anda untuk nampak lebih segak.
3. Baju Nikah Pakaian Tradisi Melayu
Dalam pelbagai rekaan baju nikah yang ada, baju tradisi kita adalah yang paling selamat. Pengantin perempuan boleh menggayakan sama ada baju kurung atau baju kebaya. Manakala pengantin lelaki pasti kacak bergaya dengan baju melayu.
Baju Kurung
Baju kurung adalah pilihan fesyen yang evergreen dan tidak lapuk ditelan dek zaman. Yang penting anda tahu jenis fabrik yang sesuai dan potongan yang serasi dengan tubuh badan.
Fabrik baju kurung berwarna plain tanpa corak adalah pilihan terbaik. Anda boleh hiaskan baju kurung dengan sulaman bunga ataupun taburan manik-manik mengikut warna fabrik.
Baju Kebaya
Baju kebaya juga pilihan yang terbaik untuk majlis pernikahan. Anda akan kelihatan anggun dan manis berbaju kebaya full lace ataupun dengan perincian sulaman renda di bahagian hujung tangan dan hujung baju.
Untuk tampil lebih mewah, anda juga boleh gunakan fabrik songket untuk baju kebaya anda. Penggunaan aksesori dokoh tembaga, pending dan cucuk sanggul pasti menaikkan lagi seri dan aura pengantin Melayu.
Dokoh
Dokoh adalah perhiasan wanita yang dipakai di bahagian leher. Ia mempunyai tiga atau lebih plat. Kebiasaanya ia diperbuat daripada timah, tembaga atau logam. Ia sering digayakan dengan baju kebaya.
Pending
Pending adalah perhiasan yang dipakai di bahagian pinggang. Pending dipakai bersama-sama tali pinggang yang diperbuat daripada emas, perak atau tembaga. Pending ini dijadikan sebagai kepala tali pinggang. Ianya dihiasi dengna motif-motif flora dan fauna yang amat halus buatannya.
Cucuk Sanggul
Cucuk sanggul adalah perhiasan kepala bagi wanita bagi mendandan rambut yang panjang mengurai dan lebat. Hulu cucuk sanggul mempunyai corak hiasan yang diukir dengan bentuk yang menarik.
Baju Melayu Tradisional
Pengantin lelaki pula pasti akan tampak segak dengan busana baju tradisi Melayu iaitu baju melayu tradisional. Baju melayu sudah menjadi pilihan utama dalam majlis pernikahan bagi mempelai lelaki.
Baju melayu tradisional dilihat agak longgar dan selesa. Terdapat dua jenis baju melayu tradisional yang boleh anda pilih iaitu baju melayu cekak musang dan baju melayu teluk belanga.
Baju Melayu Moden
Sesuai dengan peredaran zaman, baju melayu moden kini direka tanpa pesak supaya ianya terletak rapi dan segak pada badan si pemakainya. Baju melayu moden dilihat lebih kemas kerana ianya dijahit mengikut bentuk badan pengantin lelaki.
Jangan lupa gayakan samping yang bercorak sepadan dengan warna baju melayu. Lebih menarik jika anda memilih samping yang dihasilkan daripada kain tenun. Corak tenun lebih cantik dan tampil lebih menyerlah untuk dipakai di hari istimewa.
4. Baju Nikah Badan Uniform
Bagi yang menjawat jawatan dalam badan beruniform, anda boleh memakai pakaian uniform rasmi untuk majlis pernikahan. Jarang-jarang dilakukan oleh pengantin lain. Jadi inilah masanya untuk majlis anda tampil jauh lebih berbeza daripada pernikahan yang biasa.
Antara pakaian badan beruniform yang boleh dikenakan semasa hari pernikahan adalah pakaian uniform polis, tentera, bomba dan jururawat.
Tapi untuk pakaian uniform seperti polis dan tentera, anda tidak boleh sewenang-wenangnya memakai uniform tersebut jika anda bukan ahlinya. Ada akta yang perlu dipatuhi.
5. Baju Nikah Moden
Ramai bakal pengantin kini lebih menyukai busana nikah yang lebih moden dan serba ringkas.
Dress Atau Gaun
Jika anda berkira-kira untuk mengadakan majlis pernikahan bertemakan moden kotemporari, anda boleh memakai gaun atau dress labuh beserta veil polos. Namun, anda harus berhati-hati dalam memilih jenis gaun atau dress yang sesuai dengan bentuk tubuh anda.
Suit Atau Kot
Bagi bakal pengantin lelaki pula, lengkapkan gaya moden anda dengan memakai suit atau kot. Pilihan tie, bow tie atau boutonniere akan menambahkan lagi gaya segak anda di hari bahagia ini.
6. Baju Nikah Ala Bollywood
Anda peminat Bollywood? Inilah masanya untuk melaram dengan baju nikah bertemakan Bollywood.
Baju Nikah Sari
Pilih sari yang berwarna emas atau merah terang untuk menonjolkan keanggunan anda. Jika kurang berminat dengan warna-warna seperti itu, boleh juga menggunakan warna-warna lembut dan tenang seperti biru atau hijau.
Padankan juga dengan aksesori wajib seperti gelang tangan emas, hiasan di kepala seperti matha patti, maang tikka, dan jhumar, hiasan di hidung dan juga dupatta iaitu selendang panjang di kepala.
Matha Patti
Matha patti adalah sejenis perhiasan kepala yang menutupi bahagian antara kening dan rambut.
Maang Tikka
Maang tikka adalah perhiasan kepala yang terletak di tengah-tengah belahan rambut wanita. Kebiasaannya terdapat kalung berbentuk bundar dengan perincian yang sarat dan menawan tergantung di bahagian dahi hingga ke bahagian tengah kening.
Jhumar
Jhumar pula adalah perhiasan kepala yang dipasang pada bahagian kiri rambut. Ia berbentuk seperti layang-layang atau kelihatan seperti berbentuk segitiga.
Kurta Dan Dhoti
Bagi pengantin lelaki, sarungkan kurta dan dhoti iaitu pakaian tradisi untuk lelaki kaum India. Kurta kelihatan seperti kemeja yang panjang sehingga ke lutut. Manakala dhoti pula adalah kain panjang yang dililit di bahagian pinggang dan kaki si pemakai.
Kebiasaanya dhoti berwarna putih. Tapi untuk hari penting sebegini, anda boleh menempah sepersalinan dhoti dan kurta yang bercorak dan berwarna senada dengan pakaian pengantin perempuan.
7. Baju Nikah Tradisi Cina
Pemilihan baju nikah tradisi Cina ini pasti akan memukau mata tetamu yang memandang. Bagi pengantin perempuan, cheongsam pastinya menjadi pilihan utama. Untuk pengantin lelaki, anda boleh pilih sama ada untuk memakai jubah labuh ataupun changsan.
Kebiasaanya pakaian tradisi Cina untuk perayaan yang berwarna merah menyala akan dihias indah dan mewah dengan sulaman corak pheonix, naga atau abstrak berwarna emas.
Baju Nikah Cheong Sam
Umumnya pengantin perempuan kaum Cina akan memakai cheong sam berwarna merah untuk hari perkahwinan mereka. Cheongsam mempunyai cekak leher yang tinggi, butang pada bahagian depan baju, mempunyai belahan pada kiri dan kanan kain serta bentuk baju yang agak sendat di bahagian pinggang.
Anda boleh sahaja mengekalkan cheongsam tradisi kaum Cina yang sedia ada. Atau anda juga boleh ubah sedikit kelainan dengan memilih warna yang lebih lembut seperti merah jambu atau biru muda serta melonggarkan sedikit potongan baju cheongsam ini.
Jubah Labuh Dan Changsan
Pengantin lelaki kaum Cina biasanya akan mengenakan jubah labuh ataupun changsan semasa hari perkahwinan mereka. Jubah labuh tradisional Cina biasanya panjang hingga ke menutupi ke bahagian kasut dan juga berlengan panjang. Ia mempunyai butang bermula dari bahagian tengah leher ke tepi baju.
Changsan pula kelihatan seperti baju tunic dan ianya digelar sebagai baju panjang. Ia mempunyai butang di bahagian depan baju dari atas hingga ke bawah. Secara tradisionalnya changsan dipakai berwarna merah. Tapi untuk hari pernikahan, boleh sahaja anda tempah changsan yang senada dengan pengantin perempuan.
8. Baju Nikah Warna Trending
Baju nikah berwarna putih sudah terlalu biasa. Apa kata anda keluar dari kebiasaan ini dan pilih baju nikah yang berwarna selain daripada putih contohnya seperti warna pastel atau warna yang lebih garang.
Warna Pastel
Warna pastel adalah warna yang biasanya terdiri daripada warna-warna cerah. Antara warna pastel yang selalu menjadi pilihan para pengantin untuk hari pernikahan mereka adalah dusty pink, baby blue, soft yellow, mint dan peach.
Warna Hangat
Frasa warna hangat digunakan untuk menggambarkan warna yang terang atau berani. Warna hangat adalah warna yang menyerlah dan boleh menjadi luar biasa. Contoh warna hangat termasuk merah, kuning dan oren.
Warna Sejuk
Frasa warna sejuk digunakan untuk menggambarkan warna yang aman atau menenangkan. Warna sejuk tidak terlalu kuat dan tidak begitu menyerlah. Contoh warna sejuk termasuklah hijau, biru dan ungu.
Busana nikah biasanya akan dibuat khas kerana ia merupakan waktu yang paling bermakna terutamanya untuk pengantin perempuan. Kini terdapat banyak inspirasi baju nikah yang boleh anda rujuk. Anda cuma perlu pandai memilih mana satu yang serasi dengan anda.
Namun sekiranya anda mencari Bridesmaid Dress yang menarik, pilihan di sini mungkin menawan hati anda.