Persiapan perkahwinan ini merangkumi banyak perkara dari penyediaan dokumen hingga ke hiasan tempat perkahwinan anda. Banyak perkara boleh berlaku jika anda terlupa mengenai sesuatu. Jadi anda perlulah bersiap sedia dan pastikan semuanya dalam keadaan teratur dan rapi.
Ini mampu menenangkan hati anda di hari bahagia anda. Jika tidak, anda akan bazirkan memori untuk hari bersejarah anda dengan merisaukan mengenai semua perkara.
Persiapan perkahwinan bukanlah perkara yang boleh diremehkan. Persediaan mental dan fizikal anda penting supaya anda tidak menjadi terlalu cemas nanti. Tidak dinafikan memang anda akan terasa semakin berdebar. Namun biarlah debaran itu kerana anda teruja bukannya gelisah.
Bagi mereka yang tidak pasti bagaimana untuk memulakan persiapan perkahwinan bagi majlis anda, di sini kami ada sediakan senarai checklist persediaan perkahwinan yang sesuai dibuat kira-kira 12 bulan terakhir sebelum tarikh majlis.Nanti tak lah pening kepala lagi nak fikir apa yang perlu dibuat.
12 Bulan Sebelum Hari Perkahwinan
12 bulan sebelum majlis perkahwinan, ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan terlebih dahulu untuk persiapan perkahwinan. Jangan fikir ia terlalu awal kerana nanti anda akan gabra jika terlepas sesuatu perkara.
1. Lokasi Majlis
Pastikan di mana anda ingin lakukan majlis perkahwinan anda, adakah anda inginkannya lebih kasual atau lebih meriah. Lokasi memainkan peranan dalam arah perjalanan majlis anda.
Jika anda ingin jimat bajet anda juga boleh lakukan di sebelah pihak sahaja. Ia adalah pilihan anda.
Anda boleh memilih rumah anda sendiri, masjid,dewan serbaguna atau hotel. Jika anda bercadang nak buat majlis di dewan serbaguna buat tempahan dan uruskan bayaran deposit dengan segera.
Hotel pula anda seharusnya lakukan survey terlebih dahulu. Baca terlebih dahulu review dan komen di laman sosial mengenai hotel yang anda pilih.
2. Tema Majlis
Tema majlis ini agak sukar untuk mendapat kata sepakat antara dua pihak, jadi fikirlah dari awal-awal. Setelah anda mendapat idea mengenai tema anda, anda perlu uruskan pakaian pengantin, hantaran, hiasan lokasi, doorgift dan pelamin.
Tema juga merupakan satu topik yang besar dan banyak ceraian di bawahnya. Anda mungkin pilih warna sebagai tema, mungkin juga pilih gaya vintage, reka bentuk juga boleh jadi tema tau! Jadi penting bagi anda selesaikannya awal-awal.
3. Hadiri Pameran Ekspo Kahwin
Jika anda majlis clueless mengenai perkara ini, anda dan pasangan bolehlah hadiri pameran-pameran atau ekspo-ekspo pengantin untuk mendapatkan idea untuk majlis perkahwinan anda.
Dalam masa yang sama, anda boleh mendapatkan maklumat serta survey vendor pilihan anda untuk mendapatkan pakej yang terbaik tanpa risau kena tipu dengan bayaran yang berlebihan.
9 Bulan Sebelum
9 bulan sebelum majlis perkahwinan, anda telah mula terasa terbeban dengan perkara yang perlu diselesaikan. Persiapan rapi mampu menghindarkan diri anda dari sebarang masalah.
1. Memilih Servis Catering
Antara perkara paling penting semasa majlis perkahwinan anda nanti adalah makanan yang enak untuk dijamu kepada tetamu yang hadir. Penting untuk anda cuba buat survey terlebih dahulu mengenai menu-menu specialty yang disediakan oleh pihak katering sebelum bersetuju mengambil servis mereka.
2. Temu Janji Dengan Event Planner
Setelah mengunjungi pelbagai ekspo perkahwinan dan survey pelbagai pakej secara online, anda sepatutnya sudah dapat memilih siapa yang anda ingin serahkan plan perkahwinan anda.
3. Tempah Baju Kahwin Dan Baju Tema Keluarga
Anda juga dah boleh mula menempah baju kahwin dan juga baju tema untuk keluarga. Tema majlis dah pasti, warna pun dah pilih. Sekarang tinggal beli kain, ukur badan dan tempat baju kahwin serta baju tema keluarga anda.
Bukan sahaja keluarga, kawan rapat juga anda perlu sedia baju yang seragam. Baru nampak special. Baju anda boleh tempah, sewa, ataupun beli sahaja yang dah siap dijahit.
4. Hadiri Kursus Perkhawinan
Kalau anda masih belum menghadiri kursus perkahwinan, inilah masa yang paling sesuai. Kursus perkahwinan bukan untuk mendapatkan sijil semata-mata.
Perkara ini penting untuk anda memahami tanggungjawab suami isteri dalam keluarga, mendidik anda mengenai apa yang patut dilakukan dan tidak patut dilakukan dalam perkahwinan serta hak-hak sekiranya berlaku sebarang penceraian.
5. Hadiri Ujian HIV Dan Talasemia
Ujian ini tersangatlah penting bagi pasangan yang ingin mula berumahtangga. Kedua-dua ujian ini adalah mustahak supaya anda dan pasangan hidup dalam aman dan sihat.
6 Bulan Sebelum
6 bulan sebelum majlis perkahwinan, anda perlu fokus dan uruskan beberapa perkara yang penting dahulu. Majlis dah semakin hampir dan malang tak berbau. Tapi jangan panik.
Rancang Dan Beli Barang Hantaran
Hantaran boleh ditempah sahaja supaya tidak memeningkan fikiran anda. Jumlah dulang juga anda kena pastikan terlebih dahulu.
Umumnya, dulang hantaran akan diberi dalam nombor ganjil. Sebagai contohnya, jika pihak lelaki memberikan lima dulang hantaran, pihak perempuan pula akan membalas dengan tujuh dulang.
Ratio dulang biasanya adalah 3:5, 5:7 dan 7:9. Namun bagi hantaran tunang, pilihlah angka dulang yang bersesuaian dengan bajet anda.
3 Bulan Sebelum
3 bulan sebelum majlis adalah masa yang agak terhad. Masa semakin suntuk. Anda perlu pastikan kebanyakan persediaan yang penting sudah pun diselesaikan.
1. Sediakan Dokumen Penting
Jangan lupa untuk memohon dan mendapatkan kebenaran bernikah melalui Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing. Anda juga perlu menyediakan dokumen-dokumen tertentu seawal mungkin seperti:
- Salinan kad pengenalan
- Borang permohonan nikah
- Borang saksi permohonan nikah
- Surat perakuan bujang
- Laporan ujian HIV dan talasemia
- Borang nikah luar kawasan
- Sijil kursus kahwin
- Sijil nikah ibu bapa pengantin perempuan
- Surat mastautin
Anda juga perlu kenal pasti juru nikah, wali dan saksi untuk majlis anda nanti. Pastikan kehadiran mereka semua terutamanya juru nikah supaya lebih mudah untuk mereka uruskan jadual masing-masing dan tidak terlupa tarikh pernikahan anda.
2. Tempahan Kad Kahwin
Sebelum menempah kad jemputan, anda perlu tahu jumlah tetamu yang ingin dijemput. Pastikan ada senarai nama supaya tidak terlupa sesiapa. Pastikan sebelum mencetak, nama, tarikh, alamat dan peta rumah adalah betul. Tempah sekali bunting serta penunjuk arah supaya mudah untuk tetamu mencari tempat majlis.
Doorgift yang mudah untuk anda buat adalah doorgift aneka coklat. Murah dan mudah. Simple bukan?
3. Beli Cincin Dan Barang Kemas
Ambil masa bersama-sama pasangan untuk memilih dan membeli cincin kahwin anda berdua. Jangan selalu fikir yang anda mahu cincin mahal dan tidak ingat pasal bajet anda. Keikhlasan sangat penting semasa memilih cincin ini.
1 Bulan Sebelum
Hantar Kad Jemputan
Sebulan sebelum majlis, anda sudah boleh mula menghantar kad jemputan kepada saudara-mara dan sahabat handai. Jika saudara jauh bolehlah hantar ikut pos atau ikut atas talian sahaja.
2 Minggu Sebelum
1. Penjagaan Diri
Sebulan sebelum majlis, anda boleh tenangkan diri dengan pergi ke spa untuk urutan badan. Dah penat-penat buat persiapan nak dekat setahun, inilah masa untuk berikan reward kepada diri sendiri.Bagi pengantin lelaki pula, anda boleh persiapan diri dengan memotong rambut, buat facial dan spa juga.
2. Follow Up Dengan Event Planner
Ini adalah kali terakhir anda akan follow up dengan vendor pilihan anda. Untuk tidak nampak terlalu mendesak, anda boleh bertanya khabar dan maklumkan tentang perjalanan majlis anda kepada vendor.
1 Hari Sebelum
1. Persiapan Pakaian Perkahwinan
Sehari sebelum majlis perkahwinan, anda dah boleh siap sedia dengan pakaian pengantin anda. Seterika baju pengantin dengan hati-hati. Siapkan terus dengan aksesori anda.
3. Pastikan Event PLanner Siap Sedia
Pastikan kanopi, meja, kerusi, PA sistem dan pelamin sudah siap sedia di majlis anda. Susun doorgift di tempat yang mudah diambil. Pastikan penanda arah serta bunting telah pun dipasang di tempat yang sewajarnya.
4. Bahagikan Tugasan Kepada Ahli Keluarga Dan Tidur Awal
Serahkan tugasan lain kepada ahli keluarga. Mereka pasti akan lakukan yang terbaik untuk melihat hari bahagia anda tampak meriah.
Semua persiapan telah pun sempurna. Dapatkan rehat yang cukup supaya anda nampak segar dan cergas untuk hari esok.
Hari Majlis
1. Ambil Sarapan
Jangan tinggalkan sarapan supaya anda kekal bertenaga dan bermaya sepanjang hari. Nak makan di majlis perkahwinan lambat lagi tau. Jangan lupa makan pagi nanti perut masuk angin.
2. Bersiap Dan Datang Awal
Bersiap seawal yang mungkin. Pastikan pakaian anda lengkap, kad pengenalan ada bersama dan telefon anda diberikan kepada pengapit.
Cuba untuk bergerak ke lokasi majlis awal setengah jam. Dalam kelam kabut rombongan yang ramai, pasti mengambil masa untuk bergerak ke lokasi majlis.