Dalam majlis perkahwinan atau bertunang, tidak lengkap rasanya jika tidak disertakan sekali dengan hantaran. Walaupun hantaran bukanlah sesuatu yang wajib diberi tetapi ia sudah menjadi satu kemestian dalam adat tradisi perkahwinan Melayu.
Hantaran mempunyai simbolik yang sangat istimewa dalam adat perkahwinan Melayu. Ia adalah sebagai tanda penghargaan kepada pasangan pengantin masing-masing.
Selain itu, saling berbalas dulang hantaran juga menjadi simbol mengukuhkan lagi hubungan yang bakal terjalin antara pihak keluarga pengantin lelaki dan pihak keluarga pengantin perempuan.
Kebiasaannya, barang hantaran yang paling mudah disediakan dan selalu dijadikan sebagai hantaran untuk majlis bertunang atau majlis perkahwinan adalah buah-buahan. Selain mudah didapati di mana-mana pasaraya, buah-buahan juga tidak memakan kos yang tinggi untuk diperolehi.
9 Idea Gubahan Hantaran Buah-Buahan Yang Mudah Tetapi Tetap Menarik
Buah-buahan adalah antara barangan yang paling senang dan jimat untuk dijadikan hantaran. Cuma kadang-kala boleh mati kutu memikirkan cara yang terbaik untuk menghiasnya dengan cantik di atas dulang hantaran.
Anda mungkin boleh menggunakan 9 idea gubahan hantaran buah-buahan yang kami sediakan sebagai panduan. Kesemua idea ini mudah untuk dilakukan tetapi tetap nampak menarik dan menyerlah untuk majlis anda yang meriah.
01
Gubahan Hantaran Buah Guna Bakul
Idea yang paling mudah dan cantik untuk menggubah hantaran buah-buahan. Gunakan bakul yang bersaiz sederhana dan penuhkan dengan pelbagai buah-buahan pilihan anda. Pastikan buah-buahan yang diletakkan dalam bakul tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sikit. Just nice, bak kata orang.
Pemilihan buah, warna dan jenis bakul bergantung kepada citarasa anda. Untuk hiasan, anda mungkin boleh menggunakan kain alas di dalam bakul, lilitan bunga atau ikatan reben pada tangkai bakul. Dah selesai!
02
Gubahan Hantaran Buah Jambangan Bunga
Kalau sudah bosan dengan gubahan hantaran buah-buahan hiasan bakul, anda boleh cuba jadikan buah-buahan hantaran kahwin tersebut menjadi ala-ala flower bouquet. Memang unik sekali tapi hasilnya memang cantik!
Hiaskan dengan daun-daun hijau dan bunga-bunga kecil seperti lavender dan baby breath untuk nampak lebih real. Pastikan anda memilih buah-buahan yang cantik, segar dan berkilat. Baru nampak wow!
03
Gubahan Hantaran Hamper Buah
Mudah dan tidak memerlukan aksesori dekorasi yang banyak. Anda cuma perlukan kotak atau bakul, plastik atau kain net hamper serta reben atau tali. Buah-buahan yang diperlukan untuk menghasilkan hamper buah-buahan pun tidak banyak.
Untuk mendapatkan gubahan hantaran buah-buahan yang menarik, penuhkan paper filler di bahagian bawah kotak atau bakul. Kemudian susun buah-buahan hantaran kahwin. Bungkuskan dengan plastik atau kain net hamper dan ikatkan dengan reben ataupun tali.
04
Gubahan Hantaran Buah Guna Dulang Bertingkat
Idea menggunakan dulang bertingkat ini memang menarik dan unik. Jarang-jarang dilakukan oleh pengantin lain. Cuma anda perlu berhati-hati kerana kemungkinan hantaran buah-buahan anda akan menjadi agak berat.
Jika ingin mengunakan konsep gubahan buah dalam dulang bertingkat ini, anda perlu pelbagaikan jenis dan warna buah untuk nampak lebih menyerlah. Campurkan buah-buahan bersaiz besar dan kecil untuk mendapatkan visual yang lebih menarik.
05
Gubahan Hantaran Buah Guna Bakul Besi
Konsep menggubah hantaran buah menggunakan bakul besi adalah idea yang bernas dan praktikal. Selepas habis majlis, anda boleh menggunakan kembali bakul besi ini untuk meletakkan buah-buahan atau barangan lain di rumah.
Gubahan hantaran menggunakan bakul besi ini sangat sesuai jika majlis perkahwinan anda bertemakan rustik. Pemilihan warna bakul besi yang kontra dengan warna buah memainkan peranan penting untuk mengelakkan buah-buahan menjadi suram.
06
Gubahan Hantaran Buah Dalam Kotak
Jika anda ketandusan idea untuk menggubah hantaran buah-buahan untuk majlis tidak lama lagi, mungkin anda hias hantaran anda menggunakan kotak. Susun buah-buahan secara teratur di dalam kotak mengikut buah-buahan yang ada.
Cari kotak yang berwarna atau bercorak menarik untuk menaikkan lagi seri gubahan hantaran anda. Penggunaan kotak sebagai gubahan hantaran buah bukan sahaja nampak kemas malah boleh jimat kerana tidak perlukan buah yang banyak.
07
Gubahan Hantaran Buah Guna Bekas Kaca
Gubahan hantaran buah akan nampak lebih menarik dan mewah jika menggunakan bekas kaca. Malah anda tidak perlu menghias hantaran buah-buahan ini berlebih-lebihan kerana ia akan membuatkan gubahan anda nampak terlampau semak.
Jika anda ingin menambah hiasan juga, cukup sekadar sedikit bunga segar berwarna pastel dan daun-daun hijau. Perlu diingatkan watak utama gubahan anda adalah buah-buahan. Kalau terlalu banyak hiasan lain, buah-buahan akan tenggelam dan tidak akan menyerlah.
08
Gubahan Hantaran Kek Buah Segar
Kalau nak cuba sesuatu yang lain daripada yang lain? Anda boleh hias buah-buahan menjadi seperti kek. Menarik kan idea ini? Antara buah-buahan yang sesuai untuk gubahan buah ala kek adalah tembikai merah, tembikai susu dan rock melon.
Tambahkan whipped cream serta buah-buahan kecil seperti anggur, strawberi dan kiwi sebagai hiasan. Adalah lebih baik jika hantaran kek buah-buahan segar ini diletakkan di dalam bekas kaca lutsinar untuk mengelakkannya tercemar oleh habuk dan persekitaran.
09
Gubahan Hantaran Ukiran Buah
Jika ada antara ahli keluarga yang kreatif dan pandai seni ukiran buah, anda juga boleh menjadikan hasil seni ukiran buah sebagai gubahan hantaran di majlis perkahwinan. Seni ikuran buah-buahan memang sangat unik dan pasti akan menarik perhatian tetamu yang bertandang.
Kebiasannya, ukiran buah akan diletakkan di meja makan pengantin. Kali ini, kita buat sedikit kelainan dengan menjadikannya sebagai hantaran. Pelbagai motif ukiran yang boleh dibuat contohnya seperti ukiran bunga-bungaan, haiwan dan juga abstrak.
4 Tip Menggubah Hantaran Buah-Buahan Untuk Kekal Segar Dan Cantik
Untuk menghasilkan hantaran buah-buahan yang menarik, banyak perkara tentang hiasan buah yang anda perlu ambil tahu. Gunakan tip-tip di bawah untuk memastikan gubahan hantaran buah-buahan anda kekal segar dan cantik.
01
Guna Buah-Buahan Yang Sesuai
Anda perlu tahu jenis-jenis buah yang sesuai untuk dijadikan hantaran. Antara buah-buahan yang sesuai untuk dijadikan sebagai salah satu hantaran adalah epal, oren, pisang, anggur, kiwi, plum dan strawberi.
Anda juga boleh campurkan buah-buahan yang bersaiz besar dan bersaiz kecil untuk menjadikan gubahan anda lebih menyerlah. Warna buah-buahan yang kontra seperti oren dan hijau akan membuatkan hantaran anda jadi menarik.
02
Gunakan Kuantiti Buah-Buahan Yang Mencukupi
Kuantiti buah-buahan yang anda gunakan tidak boleh terlalu banyak dan tidak boleh terlalu sedikit. Jika terlalu banyak, hiasan hantaran buah akan nampak terlalu sarat dan tidak menarik. Kalau terlalu sedikit, gubahan hantaran nampak kosong dan membosankan.
Mulakan menghias dulang hantaran dengan buah-buahan yang bersaiz besar dahulu. Kemudian barulah penuhkan ruangan yang nampak agak kosong dengan buah-buahan bersaiz kecil ataupun bunga-bunga segar.
03
Teknik Bagi Buah Nampak Cantik Segar Dan Berkilat
Kebiasaannya bakal pengantin akan menyapu minyak pada permukaan buah-buahan untuk menampakkan kulit buah jadi cantik berkilat. Tetapi ada cara yang lebih baik daripada menggunakan minyak.
Buah-buahan yang dijual di pasaraya kebiasaannya akan disaluti dengan wax untuk memastikan buah tersebut tahan lama. Anda hanya perlu menggunakan tisu dapur bersih untuk menggosok wax pada permukaan kulit buah sehingga nampak berkilat.
04
Gubah Dengan Hiasan Yang Simple
Anda tidak perlu menggubah buah-buahan dengan hiasan yang terlampau sarat dengan bunga, daun mahupun dekorasi yang lain. Hiasan yang terlalu sarat akan menyebabkan hantaran buah nampak serabut dan tidak menarik.
Penggunaan buah-buahan semata-mata sudah cukup untuk menonjolkan hantaran jenis buah. Yang penting, anda harus tahu bagaimana untuk menyusunnya dengan baik.
Buah-buahan adalah antara barang yang paling mudah serta seringkali menjadi pilihan para pengantin untuk dijadikan barang hantaran. Tapi, nak menggubah buah-buahan hingga terhasilnya hantaran yang cantik sebenarnya agak mencabar.
Semoga dengan idea-idea gubahan serta tip-tip menghias hantaran buah-buahan yang telah kami kongsikan di atas dapat membantu anda dalam menghasilkan hantaran yang menarik.
Anda ada bisnes buat hantaran dan ingin dapatkan job dari platform nikahsatu.com? Kami mencari vendor untuk pelbagai kategori. Klik di sini untuk details lebih lanjut.