Selain baju pengantin, pelamin dan hantaran, bilik pengantin juga merupakan titik tumpuan utama tetamu yang hadir di majlis perkahwinan. Oleh itu, penting untuk anda semua menghias bilik tidur pengantin supaya nampak cantik dan selesa.
Pada zaman 90an, bilik pengantin selalunya dihiasi dengan perabot-perabot daripada kayu jati, kain renda, bunga-bungaan yang sarat dan pelbagai hiasan memenuhi segenap ruang bilik. Berbeza dengan bakal pengantin zaman kini yang lebih menggemari hiasan bilik pengantin yang lebih minimalis dan tersusun kemas.
5 Inspirasi Dekorasi Bilik Pengantin Bangkitkan Mood Raja Sehari
Menghias bilik pengantin untuk majlis perkahwinan memang nampak mudah, tapi sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Ada di kalangan bakal pengantin menanti hingga saat akhir untuk mula menghias bilik pengantin kerana memikirkan ruangan ini tidak sepenting persiapan yang lain.
Banyak sebenarnya idea hiasan bilik pengantin yang mudah namun mampu memberi aura dan keselesaan kepada pasangan pengantin dan juga pada tetamu yang menjengah. Nah, kami kongsikan lima inspirasi dekorasi bilik pengantin untuk bangkitkan mood pengantin baru anda.
1. Hiasan Bilik Pengantin Minimalis
Pasti ramai yang menyukai konsep bilik tidur minimalis. Anda tidak perlu bersusah payah untuk memenuhkan setiap inci ruang bilik tidur pengantin dengan perabot dan hiasan yang melampau. Cukup sekadar sebuah katil, tilam, almari pakaian, meja sisi dan meja solek.
Pemilihan konsep minimalis ini sangat sesuai untuk bilik tidur pengantin yang bersaiz agak terhad. Warna-warna neutral adalah terbaik untuk digunakan sebagai warna utama. Tambahkan dengan sedikit elemen warna terang atau gelap, ia pasti akan menarik mata yang memandang.
Bak kata orang, minimalis itu konsepnya ‘less is more’. Tapi ini tidak bermakna anda tidak boleh menghiasi bilik pengantin anda dengan aksesori yang lain. Jika anda suka, masukkan sedikit hiasan seperti lampu meja, gambar abstrak bersaiz besar atau karpet sebagai penyeri bilik pengantin.
2. Hiasan Bilik Pengantin Moden
Konsep penggayaan bilik pengantin moden nampak lebih mewah dan eksklusif. Anda perlu bijak memilih perabot yang ringkas beserta aksesori dengan gaya kotemporari kerana ia bakal menonjolkan suasana moden bilik pengantin tersebut.
Penggunaan headboard yang unik sama ada yang dihasilkan daripada fabrik ataupun kayu akan menaikkan seri bilik tidur pengantin. Ia juga boleh dijadikan sebagai fokus bilik tersebut. Ditambah dengan floating bedside table, suasana bilik pengantin pasti memukau mata yang melihat.
Apabila memilih untuk menghias bilik pengantin dengan konsep moden, tidak bermakna anda perlu berhabis wang untuk menjadikan ia satu realiti. Cukup sekadar mendapatkan perabot-perabot serta hiasan moden daripada Ikea untuk bilik pengantin anda. Pilih warna-warna gelap untuk menyuntik elemen mewah pada perabot dan juga hiasan.
3. Hiasan Bilik Pengantin Berwarna Pastel
Jika mahu lebih selamat, anda boleh bermain dengan warna-warna pastel untuk dekorasi bilik pengantin. Warna-warna pastel akan membuatkan bilik pengantin nampak lembut. Malah warna-warna seperti ini mampu memberi ilusi luas pada ruangan dalam bilik tersebut.
Penggunaan warna-warna cerah seperti ini memudahkan anda untuk menyesuai padan dengan warna barang hiasan lain. Anda boleh padankan apa sahaja warna aksesori dengan warna-warna cerah ini. Pilih maksimum dua warna untuk memudahkan anda untuk mix and match barang hiasan dalam bilik tidur anda.
Laburkan sedikit wang untuk membeli cadar katil yang bertekstur lembut serta berkualiti tinggi mengikut warna pastel yang sesuai. Cadar katil memainkan peranan yang besar kerana di situlah tempat anda serta pasangan bakal beristirahat bersama.
4. Hiasan Bilik Pengantin Mengikut Tema Majlis
Hias bilik pengantin anda mengikut tema majlis yang telah ditetapkan. Contohnya jika anda memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan yang bertemakan English style, anda boleh menggunakan elemen kain drape putih pada katil bertiang.
Tambahkan juga beberapa batang lilin haruman sebagai centerpiece di meja sisi. Ia bukan sahaja nampak klasik, malah bakal memberikan haruman yang romantis dan mewujudkan suasana yang tenang di malam pertama anda.
Tema English style terkenal dengan dekorasi bunga-bunga besar. Pilih langsir atau wallpaper bercorak bunga berona sepadan dengan corak sarung bantal. Biarkan cadar serta fabrik lain berwarna plain supaya ruangan bilik pengantin nampak tidak terlalu sarat.
5. Hiasan Bilik Pengantin Dengan Tumbuhan Hijau
Selari dengan trend semasa, anda boleh menghiaskan bilik pengantin dengan tumbuhan hijau. Bilik tidur anda pasti nampak segar dan berasa lebih nyaman. Kontra warna hijau tumbuhan, perabot dan dekorasi dalam bilik pasti menyerlah terutamanya jika perabot dalam bilik terdiri daripada kayu pallet.
Pilih tumbuh-tumbuhan yang berjuntai seperti Philodendron dan letakkan di rak atas bahagian kepala katil. Anda juga boleh pilih tumbuh-tumbuhan indoor seperti Sansevieria atau Monstera untuk diletakkan di penjuru bilik.
Tambahkan sedikit dekorasi ringkas seperti bunga-bunga segar. Ia bukan sahaja boleh menaikkan seri bilik malah mampu mengharumkan segenap ruang bilik tersebut. Bau-bauan bunga akan menaikkan mood pengantin baru anda dan pasangan.
Bilik pengantin mungkin akan menjadi perkara terakhir yang akan anda sediakan semasa persiapan majlis perkahwinan anda. Namun, jangan abaikan ruangan ini kerana ia pasti menjadi titik tumpuan para tetamu yang hadir. Ia juga akan menjadi singgahsana intim anda bersama-sama pasangan.
Jadi, hiaskan bilik utama ini dengan suasana yang selesa dan romantik. Bilik besar atau kecil tidak semestinya membataskan idea anda untuk menggayakan ruangan ini dengan penataan yang sempurna. Bilik tidur yang tenang dan nyaman pasti akan membangkitkan mood raja sehari anda berdua.
Andai kata anda mahu tema interior dengan inspirasi lebih menarik, sila lihat konsep-konsep yang ada di galeri nikahsatu studio hasil dekorasi dari jenama terkenal dengan rekaan luar biasa!